SEJARAH PENUBUHAN
Sejarah Penubuhan Maahad Tahfiz Al Mustofa Maahad Tahfiz Al Mustofa pada mulanya beroperasi di Negeri Kedah Darul Aman yang diberi nama Pusat Tarbiyah As Solihin PTS hanya mempunyai dua orang tenaga pengajar sahaja iaitu Ustaz Abdul Wahid sendiri dan juga isteri beliau iaitu Ustazah Siti Naemah Binti Khazali. PTS yang hanya bermula dengan pelajar seramai 5 orang sahaja mula mendapat sokongan daripada orang kampung sehingga meningkat seramai 150 orang. PTS juga bukan hanya sekadar mengajar ilmu agama tetapi juga mengajar ilmu akademik kepada pelajar yang diajar sendiri oleh Al Fadhil Ustaz Abdul Wahid dan dibantu oleh adik beliau Cikgu Mohamad Zamri Bin Ibrahim. Pada tahun 2007, Al Fadhil Ustaz Abdul Wahid telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 11 Mei 2007. Setelah itu, PTS diteruskan dan disambung semula oleh Ustazah Siti Naemah dan Ustaz Muhammad Solihin yang merupakan anak sulung kepada Al Fadhil Ustaz Abdul Wahid dan Ustazah Naemah. Pada tahun 2008, PTS terpaksa dihentikan operasi apabila Ustazah Siti Naemah telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 8 Disember 2008. Pada tahun 2013, Pusat Tarbiyah As Solihin dibangunkan semula oleh Al Fadhil Ustaz Muhammad Solihin dan diberi nama Akademi Al Quran An Najihin (AAAN) yang beroperasi di Taman Perling, Johor Bahru. Akademi Al Quran ini hanya menggunakan sebuah rumah teres 2 tingkat untuk dijadikan tempat pengajian dan asrama tidak disediakan. AAAN ini hanya menyediakan pengajian kepada peringkat usia kanak-kanak dan remaja sahaja. Seterusnya pada tahun 2017, AAAN bertukar tempat daripada sebuah rumah teres 2 tingkat kepada rumah kedai di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru. Al Fadhil Ustaz Solihin juga membuka kelas Pengajian berkitab dewasa secara percuma kepada orang awam dan di asingkan Akademi Al Quran An Najihin bagi pelajar tahfiz harian dan Majlis Ta’lim Al Mustofa (MATAM) bagi kelas pengajian berkitab untuk golongan orang dewasa. Majlis Ta’lim Al Mustofa telah dirasmikan oleh Sayyidil Habib Najmuddin Bin Othman Al Khered pada tahun 2017. Berkat doa dan sokongan daripada semua, MATAM berpindah tempat ke No 50 & 52, Jalan Sri Perkasa 1/3, Taman Tampoi Utama, Johor Bahru. Hal ini kerana MATAM telah menubuhkan sebuah sekolah swasta (Tahfiz) berasrama penuh. Atas perbincangan bersama dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, nama Majlis Ta’lim Al Mustofa telah di ubah kepada Madrasah Tahfiz Al Mustofa. Madrasah Tahfiz Al Mustofa mula beroperasi sebagai sebuah sekolah berasrama penuh pada tahun 2018 yang hanya memiliki pelajar seramai 8 orang pelajar dan mula meningkat pada tahun seterusnya. Madrasah Tahfiz Al Mustofa diketuai oleh Al Fadhil Ustaz Muhammad Solihin dan dibantu oleh ahli keluarga beliau. Kini Madrasah Tahfiz Al Mustofa mempunyai seramai 40 orang pelajar (lelaki dan perempuan) dan 5 orang tenaga pengajar serta 2 orang staf sokongan. Selain itu, Kelas pengajian berkitab untuk golongan dewasa kepada orang awam secara percuma tetap berjalan seperti biasa. Pada Februari 2021, Madrasah di tukarkan kepada Maahad Tahfiz Al Mustofa atas saranan PPID Johor Bahru dan JAINJ berikutan pelajar menengah melebihi pelajar sekolah rendah. Pihak Pengurusan yakin dan percaya, ramai lagi individu di luar sana yang akan tampil untuk memberi segala bentuk fikiran bagi memastikan impian menjadi Generasi Huffaz yang unggul dari segi akhlak, berilmu dan berkeperibadian yang mulia di sisi Allah S.W.T. IN SHA ALLAH. Harapan kami agar Maahad Tahfiz Al Mustofa akan menjadi satu Pusat Ilmuan untuk Pembangunan Modal Insan ke arah memartabatkan Ilmuan Islam.
|