:
SEJARAH PENUBUHAN
Share:


SEJARAH PENUBUHAN

Sejarah Penubuhan Maahad Tahfiz Al Mustofa

Maahad Tahfiz Al Mustofa pada mulanya beroperasi di Negeri Kedah Darul Aman yang diberi nama Pusat Tarbiyah As Solihin
( PTS ). PTS ini diasaskan oleh Sohibul Fadhilah Ustaz Abdul  Wahid Bin Ibrahim pada tahun 2001 bertempat di Kampung Seberang Pumpong, Alor Setar, Kedah.

PTS hanya mempunyai dua orang tenaga pengajar sahaja iaitu Ustaz Abdul Wahid sendiri dan juga isteri beliau iaitu Ustazah Siti Naemah Binti Khazali.

PTS yang hanya bermula dengan pelajar seramai 5 orang sahaja mula mendapat sokongan daripada orang kampung sehingga meningkat seramai 150 orang. PTS juga bukan hanya sekadar mengajar ilmu agama tetapi juga mengajar ilmu akademik kepada pelajar  yang diajar sendiri oleh  Al Fadhil Ustaz Abdul Wahid  dan  dibantu  oleh  adik  beliau  Cikgu  Mohamad  Zamri Bin  Ibrahim.

Pada tahun 2007, Al Fadhil Ustaz Abdul Wahid telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 11 Mei 2007. Setelah itu, PTS diteruskan dan disambung semula oleh Ustazah Siti Naemah dan Ustaz Muhammad Solihin yang merupakan anak sulung kepada Al Fadhil Ustaz Abdul Wahid dan Ustazah Naemah. Pada tahun 2008, PTS terpaksa dihentikan operasi apabila Ustazah Siti Naemah telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 8 Disember 2008.

Pada tahun 2013, Pusat Tarbiyah As Solihin dibangunkan semula oleh  Al Fadhil Ustaz Muhammad Solihin dan diberi nama Akademi Al Quran An Najihin (AAAN) yang beroperasi di Taman Perling, Johor Bahru. Akademi Al Quran ini hanya menggunakan sebuah rumah teres 2 tingkat untuk dijadikan tempat pengajian dan asrama tidak disediakan. AAAN ini hanya menyediakan pengajian kepada peringkat usia kanak-kanak dan remaja sahaja.

Seterusnya pada tahun 2017, AAAN bertukar tempat daripada sebuah rumah teres 2 tingkat kepada rumah kedai di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru. Al Fadhil Ustaz Solihin juga membuka kelas Pengajian berkitab dewasa secara percuma kepada orang awam dan di asingkan Akademi Al Quran An Najihin bagi pelajar tahfiz harian dan Majlis Ta’lim Al Mustofa (MATAM) bagi kelas pengajian berkitab untuk golongan orang dewasa. Majlis Ta’lim Al Mustofa telah dirasmikan oleh Sayyidil Habib Najmuddin Bin Othman Al Khered pada tahun 2017.

Berkat doa dan sokongan daripada semua, MATAM berpindah tempat ke No 50 & 52, Jalan Sri Perkasa 1/3, Taman Tampoi Utama, Johor Bahru. Hal ini kerana MATAM telah menubuhkan sebuah sekolah swasta (Tahfiz) berasrama penuh. Atas perbincangan bersama dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, nama Majlis Ta’lim Al Mustofa telah di ubah  kepada  Madrasah Tahfiz Al Mustofa.

Madrasah Tahfiz Al Mustofa mula beroperasi sebagai sebuah sekolah berasrama penuh pada tahun 2018 yang hanya memiliki pelajar seramai 8 orang pelajar dan mula meningkat pada tahun seterusnya. Madrasah Tahfiz Al Mustofa diketuai oleh Al Fadhil Ustaz Muhammad Solihin dan dibantu oleh ahli keluarga beliau. Kini Madrasah Tahfiz Al Mustofa mempunyai seramai 40 orang pelajar (lelaki dan perempuan) dan 5 orang tenaga pengajar serta 2 orang staf sokongan. Selain itu, Kelas pengajian berkitab untuk golongan dewasa kepada orang awam secara percuma tetap berjalan seperti biasa.

Pada Februari 2021, Madrasah di tukarkan  kepada  Maahad Tahfiz Al  Mustofa atas saranan PPID Johor  Bahru  dan  JAINJ  berikutan  pelajar  menengah  melebihi  pelajar  sekolah  rendah.

Pihak Pengurusan  yakin  dan  percaya, ramai  lagi  individu  di luar sana  yang  akan  tampil  untuk  memberi  segala  bentuk  fikiran  bagi  memastikan  impian  menjadi  Generasi  Huffaz  yang  unggul  dari  segi  akhlak, berilmu  dan  berkeperibadian  yang  mulia  di  sisi  Allah S.W.T.  IN  SHA  ALLAH.

Harapan  kami  agar  Maahad  Tahfiz  Al  Mustofa  akan  menjadi  satu  Pusat  Ilmuan  untuk  Pembangunan Modal  Insan  ke  arah  memartabatkan  Ilmuan  Islam.